HA’IL, Arab Saudi – Juara bertahan, Nasser Al-Attiyah mengukuhkan cengkaman dalam saingan Rali Dakar 2023 selepas menjuarai Peringkat 5 yang berlangsung kelmarin.
Pelumba pasukan Toyota Gazoo Racing tersebut melakukan kejutan menawan Peringkat 5 selepas mengharungi laluan mencabar sepanjang 645.04 kilometer dengan catatan empat jam 13 minit 23 saat.
Meskipun pelumba pasukan Audi Sport, Carlos Sainz cuba mengejar untuk menjuarai peringkat tersebut, namun ia tidak berhasil selepas hanya dipisahkan satu minit 57 saat.
“Ia adalah peringkat yang sangat sukar. Kami cuba lakukan sehabis baik untuk menamatkan saingan ini.
“Pasukan lain mempunyai kuasa tambahan untuk memecut laju, tetapi saya gembira menamatkan saingan hari ini tanpa sebarang masalah meskipun bersaing seperti ‘orang gila’.
“Apa yang boleh saya katakan perlumbaan kali ini lebih mencabar dan kami benar-benar letih,” kata pemandu dari Qatar tersebut.
Hasil keputusan tersebut, Al-Attiyah kini mendahulu saingan dengan kelebihan 22 minit di hadapan seorang lagi pelumba pasukan Audi Sport, Stephane Peterhansel.
Peterhansel yang turun mencari kemenangan ke-50 mempamerkan persembahan cukup positif apabila sekadar menamatkan saingan tempat ketiga kelmarin dan menamatkan perlumbaan tempat kedua pada Rabu.
“Bagi saya, ia adalah peringkat perlumbaan paling mencabar dalam hidup saya. Saya tidak tahu kenapa, tetapi ia sangat sukar.
“Kami menerima banyak kesan di belakang leher, jadi ia bukan peringkat yang mudah,” tegas Peterhansel. – AGENSI