fbpx

WHO sangsi statistik Covid-19 China

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pesakit berada di atas pengusung di hospital Tongren, Shanghai pada 3 Januari lalu. - AFP

GENEVA, Switzerland – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kelmarin mengkritik definisi ‘amat sempit’ China tentang kematian Covid-19 dan memberi amaran bahawa statistik rasmi Beijing tidak menunjukkan impak sebenar wabak koronavirus di negara berkenaan.

“Kami masih belum memiliki data keseluruhan. Kami percaya angka semasa yang diterbitkan China tidak mewakili impak sebenar wabak ini (Covid-19) dari segi kemasukan ke hospital, kemasukan ke unit rawatan rapi (ICU) dan khususnya dari segi kematian,” kata Pengarah Kecemasan WHO, Michael Ryan kepada pemberita.

Kebimbangan meningkat mengenai lonjakan jangkitan Covid-19 selepas Beijing secara mendadak memansuhkan sekatan ketat bulan lalu yang menyaksikan hospital dan krematorium tidak dapat menampung begitu banyak pesakit dan mayat.

Begitupun, China merekodkan cuma 22 kematian Covid sejak Disember 2022 dan secara dramatik mengehadkan kriteria dalam mengklasifikasikan kematian sedemikian. Perkembangan itu mengundang persepsi meluas bahawa statistik Beijing mengenai gelombang Covid-19 terbaharu yang melanda China itu tidak membayangkan realiti sebenar.

Ryan mengetengahkan bahawa definisi Beijing ‘mewajibkan kegagalan pernafasan’ untuk kematian pesakit Covid didaftarkan sebagai kematian akibat Covid-19.

“Ini adalah definisi yang sangat sempit,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus mengulangi bahawa agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu itu memahami kenapa sesetengah negara melaksanakan sekatan Covid-19 baharu terhadap pelawat dari China.

“Disebabkan penularan begitu tinggi di China dan tanpa data menyeluruh, adalah difahami mengapa sebilangan negara mengambil langkah yang mereka percaya dapat melindungi rakyat masing-masing,” katanya.

Di luar China pula, ramai pakar memberi tumpuan kepada Amerika Syarikat (AS) dan subvarian Omicrom, XBB.1.5, yang dikesan di 29 buah negara setakat ini.

“XBB.1.5 merupakan subvarian paling mudah berjangkit yang dikesan setakat ini,” kata ketua teknikal WHO, Maria Van Kerkhove.

Bagaimanapun, tiada tanda bahawa XBB.1.5 yang pantas menular di timur laut AS, menyebabkan penyakit lebih teruk berbanding jenis Covid-19 lain.

Lonjakan kes XBB.1.5 kata Van Kerkhove, menandakan pentingnya ‘meneruskan pemantauan Covid-19 di seluruh dunia supaya kita boleh mengesan subvarian-subvarian yang sedang menular’.

“Terdapat lebih 13 juta kes Covid-19 yang dilaporkan kepada WHO pada bulan lalu sahaja dan kami tahu ia adalah jauh lebih rendah berbanding jangkitan sebenar kerana pemantauan telah berkurangan,” katanya.

Menurut Van Kerkhove, korban Covid-19 di seluruh dunia pada bulan lalu juga meningkat 15 peratus daripada bulan sebelumnya.

“Pada setiap minggu, dianggarkan 10,000 orang meninggal dunia akibat Covid-19. Namun, korban sebenar adalah jauh lebih tinggi,” kata Tedros pula. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI