PUTRAJAYA – “Info itu tidak tepat dan berniat jahat,” itu respond Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berhubung satu hantaran memaparkan tajuk laporan berita dan kenyataan tidak tepat yang di kongsi beberapa laman di Facebook sejak semalam.
Dr. Zaliha berkata, beliau menafikan kesahihan tajuk dan kenyataan laporan disebarkan itu yang mendakwa tindakan undang-undang akan dikenakan kepada mereka yang tidak mengambil dos penggalak.
“Saya tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan sedemikian serta tidak pernah menyebut sesiapa yang tidak mengambil dos penggalak akan dikenakan tindakan undang-undang.
“Orang ramai diminta untuk sentiasa berhati-hati dan menyemak sebarang sebaran berita yang tidak benar. Tidak pasti, jangan kongsi,” katanya.
Sejak semalam, beberapa laman Facebook berkongsi tajuk dan kenyataan yang turut memaparkan wajah Dr. Zaliha berhubung arahan pengambilan dos penggalak.
Laman Facebook itu menyatakan ‘rakyat Malaysia diwajibkan mengambil dos penggalak ekoran tiga juta pelancong China akan masuk ke dalam negara tidak lama lagi’.
Ia turut menyatakan bahawa ‘sesiapa yang tidak ambil dos penggalak akan diambil tindakan undang-undang’.-KOSMO! ONLINE