PETALING JAYA – Sudah terang lagi bersuluh. Pengarah juga pelakon popular, Syamsul Yusof akhirnya mengakui bernikah buat kedua dengan Ira Kazar di Thailand, hari ini.
Syamsul atau nama sebenarnya Mohd. Syamsul Mohd. Yusof itu berkata, pernikahan bersama wanita yang selama ini dikaitkan sebagai orang ketiga dalam rumah tangganya bersama pelakon Puteri Sarah Liyana itu diwalikan oleh bapa kandung Ira, juga pelakon senior Kazar Saisi.
“Alhamdulillah, hari ini Ira Kazar telah sah menjadi isteri saya, sah di sisi syarak di sisi Tuhan,” dedah Syamsul dalam sebuah video Instagramnya.
Pengakuan tersebut sekali gus menafikan segala dakwaan mengatakan mereka telah bernikah sebelum ini adalah tidak benar.
Jelas pengarah Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu, mereka terpaksa memilih bernikah di Thailand atas beberapa faktor dan memudahkan urusan. Apa penting, pernikahan mereka didaftarkan dan mengikut cara yang sah.
Sehingga hari ini, Syamsul juga mengakui, masih bergelar suami kepada Puteri Sarah dan merayu wanita itu untuk pulang ke rumah bagi menyelesaikan kemelut mereka secara baik.
“Puteri Sarah masih isteri saya.Kepada Puteri Sarah pulanglah ke rumah supaya kita boleh berbinvang secara baik tanpa mengaibkan sesiapa.
“Sudah-sudahlah bawa anak ke sana ke mari tanpa meminta keizinan suami, saya masih suami awak,” katanya.
Tegas Syamsul lagi, dia tidak pernah terfikir untuk membelakangkan mana-mana pihak terutama keluarga dengan mengahwini Ira Kazar.
“Kepada keluarga, saya tak berniat membelakangkan sesiapapun. Yang saya harapkan adalah doa yang baik-baik daripada kedua ibu bap saya, adik-beradik dan keluarga sepupu sepapat.
“Saya juga berdoa agar keputusan yang saya buat ini dirahmati dan dilindungi Allah SWT daripada segala fitnah ataupun hasad dengki orang.
“Yang paling penting, pernikahan ini sah di sisi syarak. Itu yang paling penting,” ujarnya.
Terdahulu, Syamsul berhadapan kemelut rumah tangga dengan Puteri Sarah atas dakwaan kehadiran ‘orang ketiga’ dikenali Ira Kazar yang dikatakan mengganggu rumah tangga mereka.
Pasangan berkenaan berkahwin pada 8 Mac 2014 dengan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 5, dan Sumayyah, 3.
Syamsul juga dilaporkan mahu memfailkan saman RM10 juta terhadap Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) atas dakwaan menyebarkan kenyataan tidak benar berhubung perkahwinannya. – KOSMO! ONLINE