KOTA BHARU – Kerajaan negeri Kelantan menyediakan peruntukan RM20,000 kepada setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk membantu rakyat yang terjejas akibat banjir baru-baru ini.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, bantuan itu berupa sumbangan makanan bagi membantu meringankan beban rakyat di kawasan yang terjejas banjir.
“Kerajaan negeri hanya membantu sekiranya ada keperluan seperti menyediakan kelengkapan dan bekalan makanan yang tidak mencukupi di pusat pemindahan sementara (PPS).
“Oleh itu, kita sediakan RM20,000 untuk setiap DUN melalui wakil rakyat. Bantuan banjir keseluruhan termasuk sumbangan kewangan adalah di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma),” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Cek Sumbangan kepada Masjid Al-Alaq dan Perasmian Rumah Dhuafa’ di Kampung Pak Kemek, Panji di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Mohd. Amar memberitahu, kerajaan negeri juga memperuntukkan sebanyak RM180,000 kepada setiap DUN untuk pelaksanaan Rumah Dhuafa’.
Katanya, peruntukan itu melibatkan pembinaan empat buah rumah dalam tempoh setahun.
“Setiap rumah dibina dengan kos berjumlah RM45,000 yang dilengkapi dengan tiga bilik tidur dan satu bilik air.
“Ini adalah sumbangan kerajaan negeri kepada golongan miskin. Permohonan ini dibuat melalui penghulu dan pejabat DUN akan membuat tapisan kepada mereka yang memerlukan terlebih dahulu,” katanya. – KOSMO! ONLINE