KUALA LUMPUR – Seorang kanak-kanak perempuan menempuh detik mencemaskan apabila kakinya tersepit dalam penutup longkang di sebuah sekolah di Jalan 3/125, Taman Desa Petaling, di sini, hari ini.
Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur, pihaknya telah menerima panggilan kecemasan sekitar pukul 9 pagi sebelum menghantar jentera ke tempat lokasi kejadian.
Katanya, kekuatan anggota seramai tujuh pegawai bomba lain-lain pangkat daripada Balai Bomba Penyelamat (BBP) Sungai Besi dikerahkan untuk tugasan menyelamat.
“Setibanya pasukan bomba di tempat kejadian terdapat seorang kanak-kanak perempuan kategori Orang Kelainan Upaya (OKU) berusia 16 tahun tersepit kaki kiri di dalam penutup longkang.
“Anggota bomba berjaya mengeluarkan kaki kanak-kanak perempuan tersebut dengan menggunakan peralatan power unit dengan selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, usaha mengeluarkan kaki kanak-kanak tersebut daripada tersangkut mengambil masa kira-kira 30 minit.
Menurutnya lagi, mangsa mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.-KOSMO! ONLINE.