fbpx

Qistina Khaled mahu berguru dengan Siti Nurhaliza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
QISTINA KHALED

BERGELAR pelakon sejak empat tahun lalu, pendatang baharu, Qistina Khaled kini memegang satu lagi portfolio iaitu sebagai penyanyi.

Tidak hanya cakap kosong, dia muncul dengan buah tangan iaitu single sulungnya berjudul Benci Benci Tapi Rindu (BBTR) ciptaan Jawasuki, M.A.O dan Qistina sendiri.

Kemunculan lagu pertamanya itu sekali gus membuktikan keseriusannya membina nama dalam bidang seni suara.

Menurut gadis berusia 19 tahun itu, bergelar seorang penyanyi merupakan impian yang sememangnya sudah ditanam dalam dirinya sejak mula menceburkan diri dalam dunia hiburan.

“Saya memang sudah memasang impian untuk bergelar seorang penghibur sejak dulu lagi dan kini semuanya perlahan-lahan tercapai.

“Alhamdulillah diberi kepercayaan untuk menjadi seorang penyanyi ditambah pula dengan single yang memang ‘kena’ dengan jiwa dan identiti saya,” katanya.

Bercerita mengenai BBTR, dia memberitahu jatuh cinta dengan melodi lagu tersebut ketika pertama kali mendengarnya.

Malah, irama pop yang diketengahkan menerusi lagu tersebut juga sangat segar dan berbeza.

“Mesej lagu ini sangat mudah difahami iaitu seorang wanita yang dilamun cinta. Saya pasti ramai yang pernah melalui pengalaman indah tersebut.

“Semua ‘ramuan’ yang dimasukkan ke dalam karya ini membuatkan kedengaran indah dan tidak terlalu berlebih-lebihan.

“Senang cakap memang kena dengan jiwa saya yang masih muda, harap pendengar dapat menerimanya dengan baik,” katanya yang ditemui pada majlis pelancaran lagunya di Sunway College baru-baru ini.

Menjawab sama ada telah bersedia sekiranya BBTR tidak mendapat sambutan, Qistina menegaskan dia sentiasa optimis dan enggan meletakkan sebarang harapan menggunung.

“Saya tidak mengejar glamor dan tidak mengapa jika kurang popular.

“Bagi saya, biarlah bertatih dahulu sebelum mampu berjalan dan berlari. Saya percaya rezeki itu sentiasa ada,” ujarnya positif.

BERLAKON
sejak kanak-kanak, Qistina kini mencuba nasib sebagai penyanyi.
– SADDAM YUSOFF

Siti Nurhaliza, lakonan

Sempat berkongsi mengenai impiannya sebagai penyanyi, selain kejayaan, dia juga mahu berguru dengan Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Mungkin sukar untuk direalisasikan, dia bagaimanapun memberitahu hanya ingin mendapatkan secebis ilmu dan tips dalam bidang nyanyian daripada pelantun lagu Cindai berkenaan.

“Mungkin klise tetapi saya memang teringin sangat nak bertemu dan menggali ilmu daripada Siti.

“Dia pastinya mempunyai berjuta-juta pengalaman dan sekiranya diberi peluang, memang nak kutip banyak ilmu daripadanya,” jelasnya.

Dalam pada itu, Qistina kini memperlahankan seketika kerjaya lakonannya bagi memberi fokus terhadap bidang nyanyian dan rangka promosi lagunya.

“Saya hanya perlahankan untuk beberapa bulan sahaja bagi memberi tumpuan penuh terhadap single sulung ini.

“Tawaran lakonan memang sentiasa ada dan insya-Allah akan muncul untuk sebuah drama tahun hadapan,” jelasnya.

QISTINA kini muncul dengan buah tangan iaitu single sulungnya berjudul Benci Benci Tapi Rindu (BBTR) ciptaan bersama Jawasuki, M.A.O.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI