GUA MUSANG – Seorang wanita Orang Asli yang bengkak pada bahagian pinggangnya dibawa ke Hospital Gua Musang menggunakan helikopter Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) semalam.
Imping Asot, 30, dari Kampung Sau, Pos Bihai di sini yang tidak boleh berjalan sejak tiga hari lalu terpaksa diangkat menggunakan pengusung untuk menaiki helikopter.
Pegawai Perhubungan Awam JBPM, Pangkalan Wilayah Tengah Subang, Selangor, Timbalan Penguasa Bomba II, Mohd. Hasrizal Kamaruzzaman berkata, seramai tiga orang kru penerbangan berlepas dari pangkalan udara kira-kira pukul 10.30 pagi.
Katanya, penerbangan menggunakan helikopter Agusta A109 E selamat mendarat di Kampung Sau pada pukul 11.45 pagi.
“Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) memohon helikopter untuk membawa pesakit yang sakit sejak tiga hari lalu itu kerana jalan perhubungan darat ke kampung mereka rosak teruk.
“Pesakit wanita itu diusung menaiki helikopter dan turut diiringi suaminya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd. Hasrizal berkata, helikopter mendarat dengan selamat di pekarangan Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang pada pukul 12.20 tengah hari sebelum wanita itu dibawa ke Hospital Gua Musang menggunakan ambulans.
Katanya, penerbangan pemindahan perubatan (Medevac) itu diketuai oleh juruterbang, Timbalan Penguasa Bomba II, Mohd. Faizal Abd. Latif dan Penolong Penguasa Bomba, Amir Fitri Salim. – KOSMO! ONLINE