PIALA Dunia Hoki 2023 di India bermula 13 Januari ini dilihat sebagai platform terbaik buat skuad negara kembali berada dalam kelompok 10 ranking terbaik dunia.
Ia mampu dicapai jika Malaysian Tigers yang kini jatuh ke ranking ke-11 dunia, berjaya mengorak langkah sekurang-kurangnya ke suku akhir pada saingan yang diadakan di dua venue iaitu Bhubaneswar dan Rourkela.
Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal optimis barisan 20 pemain terpillih mampu menampilkan persembahan positif biarpun perlu bertemu lawan-lawan yang menghuni ranking lebih tinggi.
“Kita perlu berada dalam kelompok 10 terbaik dunia bagi membuktikan hoki adalah sukan berpasukan nombor satu di Malaysia. Ia tak mudah, tetapi saya optimis dengan semangat juang tinggi dimiliki pemain.
“Edisi Piala Dunia lalu kita tidak mendapat keputusan yang baik apabila kita dalam satu kumpulan dengan tiga bekas juara dunia iaitu Belanda, Jerman dan Pakistan.
“Kali ini kita diundi bersama Belanda, Chile dan New Zealand. Saya percaya kita boleh menghasilkan keputusan yang baik menentang Chile dan New Zealand, tetapi ini tidak bermakna kita tidak boleh buat yang terbaik berdepan Belanda,” katanya.
Subahan berkata demikian pada Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada skuad kebangsaan yang disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil semalam.
Sementara itu, Hannah yakin Malaysian Tigers mampu meraih keputusan positif di pentas Piala Dunia berdasarkan persiapan rapi dilakukan pasukan.
“Saya pasti pasukan hoki negara sudah bekerja keras untuk sampai ke tahap ini. Saya yakin pemain mampu berdepan segala tekanan hasil daripada persiapan taktikal, fizikal dan mental,” jelasnya.
Malaysian Tigers tergelincir daripada kedudukan ke-10 selepas meraih tempat keempat pada Piala Negara-Negara FIH di Potchefstroom, Afrika Selatan.