STATUS sebagai juara bertahan bukan jaminan Thailand terlalu kebal untuk ditewaskan dan Harimau Malaya masih mempunyai peluang agak baik untuk mencipta kejutan mara ke final Piala Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF).
Jika bersandarkan kepada rekod pertemuan, kelebihan memihak kepada Harimau Malaya, namun statistik lama tidak boleh memberi jaminan apa-apa kerana pertemuan kali ini pasti akan menjanjikan cabaran berbeza.
Bekas pengendali kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee berkata, situasi yang dihadapi Thailand ketika ini hampir sama dengan Malaysia kerana tidak mempertaruhkan pemain utama.
“Thailand juga ada beberapa pemain yang tidak disenaraikan dan boleh katakan mereka kali ini adalah skuad campuran, pemain muda dan berpengalaman seperti Teerasil Dangda mahu pun Adisak Kraisorn. Jadi, mereka bukanlah satu pasukan yang tidak boleh dikalahkan.
“Di rantau Asia Tenggara memang kita tahu Thailand pasukan yang kuat, tetapi kalau kita lihat para pemain negara dalam tiga atau empat perlawanan ini, mereka sudah menunjukkan persefahaman baik.
“Ketika lawan Singapura yang memerlukan kita menang, pemain kita sudahpun tunjukkan mereka tahu tugas mereka dengan dapatkan keputusan selesa. Bagi saya kedua-dua pasukan mempunyai peluang untuk mendapatkan kemenangan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Sebelum ini, skuad negara kendalian Kim Pan-gon mengesahkan slot separuh akhir Piala AFF selepas membenam Singapura 4-1 pada perlawanan terakhir Kumpulan B di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa lalu.
Berdasarkan rekod enam pertemuan lalu, Harimau Malaya menang empat kali termasuk kejayaan 5-3 pada penentuan penalti semasa perlawanan Piala Raja Thailand, September tahun lalu, manakala dua lagi pertemuan berakhir dengan keputusan seri.
Kim Swee juga berpendapat kehadiran ramai pemain yang mampu menjaringkan gol menjadi antara resipi kepada perjalanan di Piala AFF kali ini.
“Kita tidak terlalu berharap kepada pemain tertentu dan kekuatan pemain negara agak seimbang kerana kita ada pemain yang boleh menjaringkan gol, bukan sahaja Faisal Halim kita juga nampak ada pemain lain seperti Stuart Wilkin.
“Jadi, kita kena pastikan menang di tempat sendiri, tidak kiralah apa juga keputusan.
“Apabila kita menang pada aksi pertama, sudah pasti peluang agak cerah kerana keputusan itu akan beri tekanan kepada pasukan lawan,” katanya.