MAHU membangunkan dan mengubah nasib wanita serta ibu tunggal. Itulah misi yang dibawa oleh sebuah gerakan projek keusahawanan sosial, Ibupreneur sejak ditubuhkan pada 2019.
Diasaskan oleh Aida Zunaidi, 26, Ibupreneur merupakan perjuangannya untuk membantu golongan wanita dan ibu tunggal mengubah nasib dengan memanfaatkan kepakaran serta melakukan kerja yang mereka suka.
Ibupreneur bermula sebagai projek universiti ketika Aida masih menjalani pengajian ijazah berkembar dalam bidang perniagaan dan pemasaran antarabangsa di Taylor University serta University West England.
Katanya, Ibupreneur adalah platform untuk menghubungkan bakat dan kepakaran ibu tunggal dengan pasaran terbuka.
Dia memaklumkan, platform itu juga mempromosi dan menghubungkan produk dengan pelanggan.
“Idea ini diilhamkan daripada projek pembangunan yang sering saya lakukan bersama gerakan sosial semasa belajar di Britain.
“Perkara itu saya bawa ke sini dalam usaha membantu wanita dan ibu tunggal di negara ini.
“Kebanyakan ibu tunggal di Malaysia berbakat di dapur terutama dalam menghasilkan pastri.
“Ia menjadi permulaan kepada produk yang kami pasarkan selain hasil kraf tangan,” kongsinya.
Selain membantu menjana pendapatan kepada usahawan, Ibupreneur turut menjalankan kelas kemahiran buat golongan ibu tunggal.
Kongsi Aida lagi, dalam usahanya untuk membantu ibu tunggal dan wanita, dia tidak lari daripada menerima cabaran menguruskan projek Ibupreneur.
Antara cabaran utama yang dihadapinya adalah untuk mendapatkan kepercayaan ibu tunggal.
Katanya, dia perlu meyakinkan ibu tunggal bahawa mereka boleh berjaya dengan bakat yang ada.
“Tidak dinafikan ada golongan ibu tunggal yang tidak percaya bahawa produk mereka boleh mendapat sambutan. Kita akan cuba untuk mengubah pemikiran itu.
“Bagi cabaran semasa yang dihadapi pula adalah lokasi ibu-ibu tunggal ini berbeza-beza.
“Selain itu, kawalan kualiti perlu diambil perhatian supaya produk di bawah Ibupreneur setanding dengan di dalam pasaran,” ujarnya.
Dalam perancangan terdekat, katanya, Ibupreneur dalam usaha untuk menubuhkan pusat operasi (central kitchen) bagi memudahkan golongan wanita dan ibu tunggal memproses produk mereka.
Katanya, pada masa sama, kualiti penghasilan dapat dijaga, selain meningkatkan lagi pengeluaran bagi memenuhi permintaan pelanggan yang semakin bertambah.
Luah Aida lagi, Ibupreneur merupakan nadi hidupnya.
Maklumnya, dia mahu mengembangkan projek tersebut dengan meramaikan lagi penglibatan ibu tunggal serta wanita kurang bernasib baik di negara ini.