LANGKAWI – Seramai 13 pemain industri pelancongan di pulau peranginan ini menggesa Kementerian Pengangkutan (MOT) supaya melakukan tindakan drastik bagi mengatasi masalah feri yang dianggap sebagai isu lapuk.
Kumpulan itu menggelarkan mereka sebagai Pemain Industri 13 (PI13) bagi mewakili suara penggiat industri pelancongan serta komuniti di pulau ini.
Jurucakapnya, Datuk Azly Rosly berkata, jumlah kemasukan pelancong yang didakwa mencapai sasaran 2.5 juta orang belum dapat memastikan kelangsungan ekonomi pulau tersebut yang bergantung 70 peratus kepada industri pelancongan.
“Kita nak kalau boleh lawatan rasmi Menteri Pengangkutan (Anthony Loke) ke Pulau Langkawi ini, janganlah guna kapal terbang sebaliknya lebih baik cuba perkhidmatan feri.
“Baru beliau dapat rasa apa perasaan rakyat Langkawi rasa. Saya juga harap kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dapat duduk semeja dan sepakat selesaikan masalah ini yang membebankan pemain industri di Langkawi,” katanya pada sidang akhbar di Persiaran Dayang di sini semalam.
Beliau yang juga Pengerusi Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MyBHA) Kedah/Perlis meminta Menteri Pengangkutan itu turun padang bagi selesaikan isu feri seperti yang telah dilakukan bagi pengangkutan awam utama di ibu negara, baru-baru ini.
Kata Azly, sekiranya isu itu berjaya diselesaikan, pihaknya yakin Langkawi boleh menerima sehingga empat juta pelancong dalam masa setahun.
Di samping itu, PI13 turut mempertikaikan jumlah perjalanan feri bagi laluan feri Kuala Kedah yang masih belum ditambah walaupun kerja-kerja pengerukan bagi laluan tersebut telah siap sepenuhnya.
Kelmarin, Pengurus Sumber Manusia dan Operasi Konsortium Ferry Line Ventures Sdn. Bhd., Kapten Baharin Baharom berkata, pihaknya telah menambah kekerapan perjalanan feri sebanyak lima perjalanan sehala bagi laluan tersebut, dengan waktu perjalanan antara pukul 7 pagi dan 7 malam setiap hari.
Azly berkata, jumlah perjalanan feri adalah sama dengan sebelum kerja pengerukan tersebut berbanding 10 perjalanan sehala sebelum pandemik Covid-19 melanda pada tahun 2020.