SHAH ALAM – Seorang Timbalan Penolong Pengarah Jabatan Imigresen bersyukur apabila dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen hari ini daripada tiga tuduhan rasuah berjumlah RM1,000 bagi melepaskan warga asing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).
Hakim Rozilah Salleh memutuskan demikian selepas pihak pembelaan berjaya membuktikan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan terhadap tertuduh, Mohd. Faizzan Sani, 36.
Mahkamah turut memerintahkan pasport diserahkan sebelum ini dan wang jaminan dikembalikan.
“Manakala dokumen serta eksibit dipulangkan selepas 14 hari jika tiada rayuan,” katanya.
Berdasarkan pertuduhan pindaan, Mohd. Faizzan yang bertugas di pejabat operasi KLIA2 didakwa telah diberi wang suapan keseluruhan RM1,000 daripada tiga pembantu Imigresen sebagai orang tengah bagi melepaskan warganegara asing dari sebarang tindakan mengikut Akta Imigresen 1959/63.
Kesalahan didakwa dilakukan di Pejabat Imigresen, KLIA 2 pada November 2019, Januari dan November 2020.
Ia melanggar peruntukan Seksyen 2(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan gagal melaporkan kesalahan penyogokan kepada SPRM.
Dia didakwa mengikut Seksyen 25 (1) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25 (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda tidak lebih RM100,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, Mohd. Faizzan menzahirkan rasa syukur dan gembira atas keputusan mahkamah yang memihak kepada dirinya.
“Pada April tahun lalu, saya diarahkan bela diri, perkara itu mengejutkan saya kerana menjangka akan lepas dan bebas daripada pertuduhan.
“Namun, ini memberi peluang kepada saya untuk mendapatkan dokumen membabitkan jadual tugas dan kedatangan pekerja, di situ ada keraguan terhadap pertuduhan saya,” katanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Irna Julieza Maaras manakala Mohd Faizzan diwakili peguam Ahmad Ishrakh Saad dan Fadzil Noor Alias. -KOSMO! ONLINE.