KUALA SELANGOR – Tindakan dua nelayan tempatan menggaji tiga warga asing membawa padah apabila ditahan di kedudukan 4.3 batu nautika perairan daerah ini, semalam.
Kesemua mereka berusia 32 hingga 64 tahun ditangkap kira-kira pukul 10.30 malam dalam bot kelas C yang dinaiki mereka.
Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim V. Siva Kumar berkata, penahanan itu dilakukan menerusi Op Ehsan yang mengesan bot itu dalam keadaan mencurigakan ketika menangkap ikan.
“Hasil pemeriksaan mendapati bot dikendalikan dua lelaki tempatan itu membawa tiga warga asing yang tiada dokumen pengenalan diri sah.
“Selain itu, mereka melakukan kesalahan melanggar syarat sah lesen iaitu menggunakan warga asing tanpa kebenaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Siva Kumar, bot dan semua lelaki itu dibawa ke Jeti Polis Marin Pulau Indah bagi tindakan lanjut.
“Kes itu disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE