WASHINGTON – Kucing peliharaan penyanyi dan penulis lagu Amerika Syarikat, Taylor Swift bernama Olivia Benson mempunyai kekayaan bernilai AS$97 juta (RM426.2 juta), lapor majalah Business Today.
Olivia telah mengumpulkan kekayaannya sendiri dengan membintangi beberapa video muzik bersama Swift.
Ia turut mempunyai barisan cenderahati dan muncul sebagai kameo dalam banyak iklan berbajet besar, demikian laporan laman All About Cats.
Kucing baka Scottish Fold itu dinamakan sempena watak dalam drama bersiri Law & Order: SVU. Swift sudah lama menjadi peminat rancangan yang disiar saluran televisyen NBC itu.
“Saya duduk di apartmen dan menonton rancangan itu selama berjam-jam,” katanya.
Swift mendapat kucing ketiganya, Olivia pada 2014 dan kerap memuat naik hantaran mengenainya di Instagram. Dua lagi kucing Swift diberi nama Meredith Grey dan Benjamin Button.
Bagaimanapun, Olivia masih bukan haiwan peliharaan terkaya di dunia.
Gelaran haiwan peliharaan terkaya di dunia diberikan kepada seekor anjing baka German Shepherd dikenali sebagai Gunther VI yang dimiliki oleh Gunther Corporation.
Menurut laporan All About Cats, kucing bernama Nala dengan nilai bersih AS$100 juta (RM439.4 juta) ialah haiwan peliharaan kedua terkaya di dunia. – Agensi