fbpx

Nafuzi akui beruntung miliki pemain berkualiti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NAFUZI

Oleh MOHD. RAFIE AZIMI

KETUA Jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Mohd. Nafuzi Zain menyifatkan dirinya sebagai beruntung kerana memiliki barisan pemain berkualiti bagi mengharungi saingan musim ini.

Menurut Nafuzi, dia gembira dengan apa dimilikinya di Kedah dan yakin untuk membentuk pasukan yang baik serta mantap pada tahun ini.

“Saya akui bukan mudah untuk membentuk pasukan baharu tetapi secara keseluruhannya saya gembira apabila melihat kepada senarai pemain yang dimiliki. Malah, saya yakin dengan diri dan cara sendiri untuk membentuk pasukan ini.

“Rasa beruntung kerana kita tahu bahawa pemain-pemain itu berkualiti. Setiap pemain memiliki hala tuju masing-masing dan saya gembira dengan keputusan mereka untuk bersama KDA FC musim ini.

“Disebabkan itu, saya berterima kasih kepada pihak pengurusan kerana membantu menyediakan persiapan terbaik buat pasukan ini. Insya Allah kita harap musim ini akan menjadi tahun yang cemerlang buat KDA FC,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Majlis Menandatangani Perjanjian Rakan Rasmi dan Pengumuman Pasukan Liga Super KDA FC 2023 oleh Pemilik KDA FC, Tan Sri Dr. Mohd. Daud Bakar di House Of Sang Kenari di Alor Setar semalam.

KDA FC musim ini telah menandatangani beberapa pemain yang memiliki reputasi besar seperti Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi, Lee Tuck, Manuel Ott, Manuel Hidalgo serta pemain pertahanan kental dari Serbia, Bojan Ciger.

Nafuzi menambah, beliau yakin kedatangan pemain-pemain itu ke Bumi Darul Aman didorong oleh keyakinan mereka terhadap perancangan pengurusan.

“Ketika ini kami belum berpeluang mengumpulkan semua pemain kerana ada yang terikat dengan tugas bersama skuad kebangsaan dan pemain import juga belum lengkap sepenuhnya. Tetapi dalam sesi latihan awal ini, kita dapat lihat betapa persekitaran positif menyelubungi pasukan.

“Kalau para penyokong nak datang melihat sesi latihan kami pun tak ada masalah malah saya mengalu-alukan kedatangan mereka bagi memberi semangat kepada pemain. Saya pernah bergelar pemain di Kedah dan tahu bagaimana suasana di sini yang amat cintakan bola sepak,” katanya. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI