KARACHI – Seorang lelaki, Sardar Jan Mohammad Khan Khilji berusia 50 tahun dari Pakistan, menyambut kelahiran anaknya yang ke-60 baru-baru ini, lapor portal berita Times Now semalam.
Lelaki bergelar doktor itu tinggal dekat bandar Quetta dan berkahwin dengan tiga orang wanita selain dikenali kerana mempunyai sebuah keluarga yang besar.
Sardar yang gembira kini mencari wanita keempat kerana dia berharap untuk berkahwin lagi walaupun umurnya semakin meningkat dan berharap memperoleh lebih ramai anak lelaki serta perempuan.
“Saya telah meminta semua rakan untuk membantu saya mencari gadis untuk perkahwinan keempat,” kata lelaki itu kepada Perbadanan Penyiaran British (BBC).
Dia juga mahu menempatkan seluruh keluarganya di rumah yang sama, namun peningkatan paras inflasi di negara itu telah memberi kesan kepada kewangan Sardar.
“Perniagaan terhenti. Harga semua barangan asas termasuk tepung, minyak sapi dan gula naik tiga kali ganda. Sejak tiga tahun lalu, semua rakyat Pakistan termasuk seluruh dunia menghadapi kesukaran termasuk saya,” kata lelaki itu.
Namun, lelaki nekad itu melakukan segala yang mungkin untuk menampung perbelanjaan anak-anak dan isteri-isterinya.
Bercakap mengenai aktiviti santai bersama keluarga, Sardar menyatakan bahawa dia suka melancong bersama keluarga namun menjadi mustahil baginya kerana dia memerlukan banyak kenderaan untuk membawa keluarganya pergi melancong.
“Jika kerajaan memberi saya bas, saya boleh membawa semua anak saya ke Pakistan dengan mudah,” kata lelaki itu yang bermimpi membawa anak-anaknya ke serata Pakistan. – Agensi