TOKYO – Lelongan tradisi sempena Tahun Baharu 2023 di Tokyo mencatat jualan lebih AS$270,000 (RM1.18 juta) semalam, hampir dua kali ganda berbanding harga tahun lalu dan memecahkan trend permintaan suram semasa pandemik.
Restoran bintang Michelin, Onodera Group dan pemborong Jepun, Yamayuki membayar AS$273,000 (RM1.20 juta) untuk ikan tuna sirip biru seberat 212 kilogram dalam lelongan tersebut di Pasar Ikan Toyosu di Tokyo.
Angka itu cuma sebahagian kecil daripada harga rekod pada 2019 tetapi penting kerana menandakan pemulihan dalam lelongan tuna selepas tiga tahun harga merosot.
Ikan tuna paling mahal yang dibeli oleh pembida sama pada tahun lalu berharga cuma AS$130,000 (RM572,130) dengan pemerhati-pemerhati menyalahkan kurangnya permintaan ketika gelombang Covid-19 melanda Jepun pada awal 2022.
Lelongan Tahun Baharu sememangnya dinanti-nantikan di Jepun, manakala membeli tuna paling mahal dianggap satu prestij.
Selama beberapa tahun, bidaan paling tinggi datang daripada ‘Raja Tuna’ iaitu Kiyoshi Kimuara yang pernah membayar sebanyak AS$3.1 juta (RM13.64 juta) untuk seekor tuna dalam tahun 2019.
Bagaimanapun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Kimura kelihatan kurang berminat menyertai lelongan tersebut dan menyatakan pandemik Covid-19 sebagai alasan. – AFP