PETALING JAYA – Jenaka lucah atau sindiran fizikal (body shaming) berbaur seksual bukan lagi satu perkara asing buat pelakon muda, Bella Dowana.
Akui pelakon Budak Tebing itu, dia menjadi sasaran gurauan berbaur seksual hanya disebabkan bentuk badannya yang lebih berisi berbanding pelakon lain.
Dedah pelakon berusia 20 tahun itu, perkara tersebut berlaku apabila terdapat kru penggambaran sebuah drama menyindir bentuk badannya dengan ayat-ayat ‘jahat’ yang berbaur lucah.
“Saya pernah disindir dengan jenaka ‘double meaning’ oleh kru yang saya sifatkan sebagai jahat. Mereka sedang berbual dan berkata ‘besarnya betik’ ketika saya lalu di hadapan mereka. Maksudnya apa?
“Ibu saya yang dengar dan cakap pada saya,” katanya kepada Kosmo! Online.
Ujar Bella atau nama lengkapnya Qystinna Istajibilla Dowanna Halim lagi, bentuk fizikalnya yang berisi sudah kerap dijadikan bahan lawak sejak dahulu, bukan sahaja daripada netizen, bahkan rakan-rakan artis.
“Saya memang kerap mengalami perlecehan tentang fizikal sejak dahulu. Bukan sahaja daripada netizen, bahkan daripada rakan artis.
“Mereka mungkin bergurau, tetapi sebenarnya perkara tersebut agak sensitif dan menyakitkan hati. Kadang-kadang saya buat-buat tak dengar sahaja,” ujarnya.
Ketika ditanya tentang perasan apabila bentuk fizikalnya sering menjadi bahan jenaka, Bella masih bertenang dan menganggap ‘hinaan’ sedemikian sebagai motivasi untuk menurunkan berat badan.
Buat masa sekarang, pelakon filem M4M4 itu bagaimanapun tidak menjadikan agenda menguruskan badan sebagai keutamaan, sebaliknya mahu berseronok menikmati usia remaja.
“Saya masih muda. Jadi saya hanya mahu berseronok. Untuk kuruskan badan bukan keutamaan saya.
“Cuma untuk tahun 2023 ini, saya memang berazam untuk turunkan sedikit berat badan. Sebab saya sasarkan untuk dapat pegang watak heroin dalam drama.
“Saya fikir mungkin faktor fizikal menjadi salah satu sebab saya masih tidak ditawarkan memegang watak heroin dalam drama,” ujar Bella.
Ditemui usia sidang media drama terbaharu, Legenda Puteri Qaseh di sini semalam, Bella turut berharap dapat diberikan watak yang lebih mencabar selain kembali ke lokasi penggambaran filem pada tahun ini. – KOSMO! ONLINE