PETALING JAYA – Tindakan dua lelaki asing mengamuk di dalam sebuah pesawat memakan diri apabila mereka diusir oleh kru AirAsia.
Menerusi satu klip video yang dimuat naik di Twitter Travel Jimat, kejadian dipercayai berpunca daripada salah seorang penumpang yang kehilangan barang iaitu fon telinga.
Bagaimanapun, perkara itu berlanjutan sebelum mengamuk dan menumbuk bahagian kabin.
Difahamkan, berikutan insiden kekecohan itu, penerbangan dari Kuala Lumpur ke Phuket, Thailand pada 26 Disember lalu turut tertangguh selama 90 minit.
“Kru penerbangan membuat laporan kepada kapten sebelum diarahkan untuk mengeluarkan kedua-dua penumpang berkenaan.
“Kejadian reda dan dua penumpang tersebut meninggalkan pesawat sebelum keadaan kembali selamat untuk berlepas,” katanya.
Dalam pada itu, penumpang lain yang berada dalam pesawat tersebut memberikan pujian kepada seluruh kru penerbangan kerana berjaya mengawal keadaan.
“Terima kasih kepada semua kakitangan AirAsia yang berdedikasi termasuk pihak keselamatan atas tindakan yang profesional,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE