fbpx

Dua pengarah kanan syarikat ditahan susulan isu konsesi Menara KL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Menara KL. Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua pengarah kanan sebuah syarikat bagi membantu siasatan berhubung pembelian saham dan pengambilalihan konsesi Syarikat Menara Kuala Lumpur.

Sumber berkata, kedua-dua pengarah syarikat bergelar Datuk berusia antara 49 dan 59 tahun itu ditahan lewat petang tadi di Ibu Pejabat SPRM, di sini.

Menurutnya, salah seorang daripada saspek tersebut ialah pengarah urusan syarikat yang dikatakan mengambil alih saham Syarikat Menara Kuala Lumpur.

“Manakala seorang lagi adalah ahli perniagaan berjawatan pengarah syarikat yang bertindak sebagai orang tengah dalam urusan pengambilalihan syarikat tersebut bagi pihak orang atasan.

“Disyaki pemilihan syarikat terbabit melibatkan permintaan wang rasuah berjumlah ratusan ribu dan seutas jam tangan mewah sebagai hadiah kepada ‘orang atasan’ bagi membantu pengambilalihan tersebut,” katanya.

Sebelum ini, SPRM dilaporkan telah menjalankan siasatan berhubung isu penjualan saham dan pengambilalihan konsesi penyelenggaraan Menara Kuala Lumpur daripada Syarikat Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd, milik penuh Telekom Malaysia.

Beberapa saksi termasuk pegawai Kanan Telekom, Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta syarikat-syarikat terlibat telah diambil kenyataan bagi membantu siasatan.

Tambah sumber itu lagi, kedua-dua saspek akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya esok bagi permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 16 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung penahanan itu dan berharap semua pihak tidak menimbulkan sebarang spekulasi dan memberikan kerjasama penuh kepada siasatan kes berkenaan.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI