KLANG – Kerajaan akan memastikan dua buah Kapal Peronda Luar Pesisir (OPV) Maritim Malaysia (APMM) siap sepenuhnya pada tahun ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ini supaya memastikan jadual serahan itu tidak berubah-ubah kerana itu bukan satu proses penyerahan yang bertanggungjawab.
Katanya, ini berikutan dana yang dibelanjakan kerajaan itu besar dengan komitmen kerajaan untuk mempermudahkan, tetapi menerusi beberapa syarat dan syor supaya dapat dikemas kini beberapa aspek terutama dalam proses akhir pembinaan kapal ini.
“OPV pertama kalau di atas kertas, komitmen asal pada bulan Mac tahun ini. Saya telah diberikan taklimat dan sudah tentu akan ada sedikit sebanyak beralih beberapa tempoh juga.
“Namun, saya sebut dengan jelas pendirian kerajaan untuk tarikh serahan ini tidak diubah atau dilanjut untuk satu tempoh yang panjang atas alasan tidak boleh kompromi,” katanya selepas meninjau pembinaan Kapal Peronda Luar Pesisir pertama (OPV1) di Limbungan TH Heavy Engineering (THHE) Pulau Indah di sini, hari ini.
Beliau memberitahu, bagi OPV pertama itu semua komponen utama sudah ada dengan kelengkapan senjata dan bot pengiring akan tiba nanti.
Ujarnya, kesemua tersangkut sebab aspek pembayaran dan berharap tidak akan menjadi masalah lagi melalui suntikan baharu bernilai RM152.6 juta untuk tiga OPV selepas peruntukkan asal diberikan sebanyak RM733juta.
“Ini (OPV pertama) patutnya Mac. Saya minta tidak lagi tertangguh, tetapi kalau tertangguh sampai Mac 2025, itu habis, berat. Harap tidak berlaku.
“Kalau OPV kedua akan berlaku (serahan) tahun ini juga iaitu Oktober. Itu komitmen asal. Namun, saya minta yang OPV pertama ini mesti boleh berlayar dan digunakan dan APMM dapat manfaat,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Saifuddin menegaskan, peruntukan terbaharu itu bukan bermaksud kerajaan baharu ini hanya berfungsi menyelamatkan projek sakit sahaja kerana itu bukan polisi tetap kita.
“Cuma Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) berpandapat dalam kes OPV ini kerana tujuan akhirnya mengawal keselamatan laut demi kepentingan rakyat.
“Saya akan mengikuti perkembangan (pembinaan OPV) lebih dekat. Sebagai pelanggan, Kementerian Dalam Negeri dan APMM sudah tentu mempunyai harapan besar sebab keupayaannya tinggi berlayar selama 21 hari,” katanya. – KOSMO! ONLINE