PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan cuaca buruk hampir di seluruh negara selama tiga hari bermula hari ini.
MetMalaysia dalam kenyataan di Facebook memaklumkan, ramalan tersebut meliputi sebahagian besar daerah di utara dan Pantai Timur Semenanjung.
Katanya, keadaan tersebut boleh meyebabkan hujan lebat berterusan dari pagi hingga ke petang.
Selain itu, beberapa kawasan sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Putrajaya bakal mengalami hujan lebat berserta ribut petir dan angin kencang pada sebelah petang sepanjang tempoh ramalan.
Sehubungan itu, MetMalaysia megeluarkan amaran ribut petir bagi kawasan terlibat sebagai langkah berjaga-jaga kepada penduduk setempat.
Dalam kenyataan sama, amaran hujan berterusan peringkat waspada turut dikeluarkan di Kelantan (Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai).
“Amaran itu juga diberikan kepada Terengganu (Besut, Setiu, Kual Nerus dan Kuala Terengganu).
“Tempoh amaran tersebut sah sehingga esok,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE