BAGAN SERAI – Sebuah bot nelayan tempatan kelas B jenis pukat tunda ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) kerana menggunakan khidmat warga asing di Kuala Kurau di sini kira-kira pukul 1.15 petang semalam.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd. Najhan Azman Hamid berkata, semasa anggotanya melakukan rondaan rutin di perairan Kuala Kurau, mereka telah mengesan bot terbabit dalam keadaan mencurigakan dan ia dirapati untuk pemeriksaan.
“Hasil pemeriksaan menemukan seramai tiga kru warga Myanmar termasuk tekong berusia antara 35 hingga 39 tahun berada di bot.
“Pemeriksaan ke atas dokumen mendapati, tekong tidak memiliki dokumen pengenalan diri manakala dua krunya memiliki dokumen pengenalan diri yang telah tamat tempoh,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Najhan berkata, pemeriksaan lanjut mendapati, bot itu memiliki lesen yang sah, namun tidak diusahakan sendiri oleh pemiliknya.
“Selain itu tekong gagal mengemukakan dokumen kebenaran
penggunaan kru warga asing daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.
“Kesemua kru bersama bot, hasil laut dan peralatan menangkap ikan ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk tindakan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat dibawah Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tinggal di Malaysia tanpa dokumen pengenalan diri yang sah.
Menurutnya, ia juga disiasat di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 kerana mmelanggar syarat sah lesen iaitu
pemilik bot tidak mengusahakan sendiri serta tiada kebenaran penggunaan kru warga asing oleh Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.
Sebarang aduan, salah laku dan kecemasan yang berlaku di laut boleh dilaporkan kepada APMM di talian MERS 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kurau (05-7279919) untuk tindakan segera. – KOSMO! ONLINE