PETALING JAYA – Sektor pertanian dan agromakanan mengalami kerugian RM111.95 juta akibat banjir ekoran Monsun Timur Laut (MTL) yang melanda di beberapa negeri baru-baru ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS), Mohamad Sabu, berkata ia meliputi 24,700 hektar kawasan pertanian selain membabitkan 12,000 petani dan penternak serta pengusaha agromakanan seluruh negara.
Bagaimanapun beliau menjelaskan, bekalan makanan negara tidak terjejas kerana ditampung oleh pengeluaran makanan negeri yang tidak dilanda banjir di Pantai Barat.
“Susulan itu, MAFS menyediakan pelbagai bantuan bagi membantu mereka yang terjejas termasuk pemberian kit makanan sebanyak 6,700 kit sedia untuk dimasak, 3,000 kit sedia untuk dimakan dan 1,000 kit kebersihan dengan jumlah peruntukan RM1 juta.
“Bantuan lain yang disumbangkan adalah peralatan Industri Asas Tani, input dan peralatan bagi pertanian dan perikanan, jentera mekanisasi dan automasi berskala kecil,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Kits Bantuan Bencana Banjir kepada warga MAFS Kelantan di Kota Bharu, semalam.
Tambahnya lagi, sebanyak RM2.45 juta peruntukan disediakan melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).
“Ini secara tidak langsung dapat mengurangkan beban dihadapi komuniti agromakanan yang terkesan.
“Kementerian turut menyumbangkan bantuan makanan dan ubat-ubatan ternakan sebanyak RM1 juta melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) kepada penternak yang terkesan bencana,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE