PETALING JAYA – Tindakan sebuah portal majalah memuat naik artikel memberi panduan untuk mengelakkan ‘ditangkap basah’ sewaktu berdua-duaan mengundang kecaman daripada umat Islam.
Tinjauan Kosmo! mendapati, berdasarkan artikel tersebut, ia memetik panduan dikongsikan pengguna-pengguna ruangan komunikasi atas talian serta dimuat naik pada portal itu tiga hari lalu.
Apabila pengguna masuk ke portal itu dan mahu membaca artikel tersebut, terpampang amaran ia perbincangan kesihatan seksual serta untuk orang dewasa.
Antara individu yang mengecam ialah pendakwah bebas, Firdaus Wong Hai Hung yang mempersoalkan tindakan portal majalah itu yang disifatkan mengajar pengguna untuk mengelak ditangkap ketika berzina.
“Majalah mengajar bagaimana untuk elak ditangkap ketika berzina. Adakah ‘content’ sebegini sesuai dengan adab ketimuran kita di Malaysia dan selari dengan undang-undang negara?
“Apabila Jabatan Agama Islam Melaka cadang kawal pemakaian di Pulau Besar, agama Islam dilabel agama pengacau. ‘Content’ begini tak dikira mengacau dan mempromosi zina dalam kalangan umat Islam?,” katanya pada hantaran media sosial beliau.
Dalam pada itu, orang ramai memberikan pelbagai maklum balas termasuk marah dan mengecam artikel tersebut.
“Orang sekarang makin berani, tak segan promosi benda-benda yg bertentangan dengan agama Islam. Lagi-lagi anak muda zaman sekarang,” kata Kamil Fakhruddin.
“Nauzubillah, semakin berani ya. Terima kasih Bro Firdaus kerana selalu cakna dengan keadaan semasa,” kata Suzita Ita. – KOSMO! ONLINE.