RIYADH – Kapten Portugal, Cristiano Ronaldo menegaskan, keputusannya untuk menyertai kelab Arab Saudi, Al Nassr dibuat selepas merasakan tugasnya di pentas Eropah sudah pun selesai apabila mengecap pelbagai kejuaraan.
Selain itu, Ronaldo juga merasakan sekarang adalah masa terbaik untuknya mencari cabaran baharu dan dua faktor itu menjadi perkiraan utama untuknya mengikat kontrak dua setengah tahun bernilai lebih €200 juta (RM931 juta).
Di sebalik kritikan yang diberikan terhadapnya kerana memilih menyertai kelab Arab Saudi, Ronaldo tampil menjelaskan bahawa dirinya adalah pemain unik dan penghijrahannya kali ini adalah perkara biasa.
“Saya cukup bangga dengan keputusan besar dalam hidup saya. Kerja saya di pentas Eropah sudah pun selesai. Saya memenangi segala-galanya ketika bermain dengan kelab Eropah.
“Sekarang saya bakal menghadapi cabaran baharu di pentas Asia. Saya pemain unik dan bagi saya ia adalah normal,” katanya.
Sepanjang kariernya dengan Manchester United, Real Madrid dan Juventus, Ronaldo sudah memiliki pelbagai koleksi kejuaraan seperti La Liga, Piala Sepanyol, Liga Juara-Juara, Piala Kelab Dunia, Serie A, Piala Itali, Liga Perdana Inggeris dan juga Piala FA.
Sejak mengambil keputusan ‘berpisah’ dengan United, Ronaldo mengakui banyak kelab yang tampil untuk melamarnya dan keputusannya ke Asia juga adalah untuk menghadirkan impak luar padang.
“Saya berterima kasih kerana Al Nassr memberikan saya peluang untuk membangunkan bola sepak kepada generasi muda dan golongan wanita. Bagi saya, ia adalah satu lagi cabaran dan saya begitu gembira serta berbangga.
“Saya boleh katakan, banyak peluang dari Eropah, Brazil, Australia dan Amerika Syarikat, begitu juga dengan kelab dari Portugal, tetapi saya sudah berikan janji kepada kelab ini, bukan hanya untuk membangunkan bola sepak sebaliknya dalam aspek lain di negara ini,” kata Ronaldo. – AGENSI