fbpx

Tawar lebih 30 variasi unik cendol

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NORHAYATI menunjukkan antara variasi cendol yang ditawarkan di The Cendol Champion, Kampung Wakaf Tengah, Kuala Nerus, Terengganu.

KEUNIKAN The Cendol Champion (TCC) yang menyajikan lebih 30 variasi cendol menjadi daya penarik pelanggan untuk mengunjungi premis tersebut yang terletak di Kampung Wakaf Tengah, Kuala Nerus, Terengganu.

Pengusahanya, Norhayati Hamzah berkata, idea membuka TCC bermula daripada kesukaannya menikmati kelazatan cendol terutama yang diusahakan seorang penjaja warga emas setiap kali

berkunjung ke Kuala Terengganu.

“Berbekalkan modal yang dikumpul bersama suami yang bertahun-tahun merantau di ibu kota, kami bercadang membuka premis makanan di kampung halaman di Wakaf Tengah.

“Cendol dijadikan sebagai menu utama memandangkan itulah kesukaan saya. Begitupun, saya modenkan sedikit bagi memberi kelainan dan memenuhi cita rasa orang muda yang merupakan pelanggan sasaran,” katanya ketika ditemui K2 baru-baru ini.

Norhayati berkata, pada mulanya, sewaktu TCC dibuka pada tahun 2016, dia hanya memperkenalkan empat variasi cendol iaitu nangka, oreo, pulut dan durian.

Jelasnya, sambutan yang diterima amat memberangsangkan sehingga premis makanannya mula dikenali ramai termasuk dalam kalangan pelancong dari seluruh negara.

“Saya terus bereksperimen mempelbagaikan cendol dengan perasa baharu sehingga kini sudah melebihi 30 jenis.

“Antara yang unik dan menambat selera pelanggan tanpa mengira usia adalah aloe vera, nata de coco, strawberi, biscoff, boba, cincau, longan, laici dan rambutan,” ujarnya.
Norhayati memberitahu, selain cendol, TCC turut menyajikan dua menu istimewa Sarawak iaitu mi kolok dan laksa Sarawak.

Ujarnya lagi, dua menu tersebut merupakan kegemaran suaminya yang berasal dari negeri Bumi Kenyalang, selain ia sukar diperolehi di sekitar Terengganu.

“Saya juga memberi peluang kepada usahawan tempatan untuk berniaga makanan di TCC.

“Setakat ini, tiga peniaga yang menjual bakso, makanan ala Barat, set nasi bersama aneka sup dan asam pedas serta ayam golek,” katanya.

Cendol durian merupakan antara
menu ‘laku keras’ di The Cendol Champion.

Norhayati berkata, selain memberi nilai tambah kepada TCC, penyediaan slot perniagaan tersebut merupakan salah satu usahanya untuk berkongsi rezeki dengan peniaga kecil tempatan.

Norhayati berkata, harga cendol dan makanan di TCC amat berpatutan iaitu antara RM1 hingga RM35.

Jelasnya lagi, ia bagi memberi peluang kepada semua golongan merasai kelazatan cendol yang diperbuat daripada bahan-bahan segar termasuk santan sawit itu.

Norhayati berkata, TCC juga dihias dengan dekorasi bertema klasik hipster daripada susunan perabot serta peralatan rumah zaman 1970-an yang diperolehi daripada kediaman peninggalan arwah bapanya.

Dia memaklumkan, sebelum ini, semua barangan antik seperti peti televisyen, gerobok makanan, tudung saji dan pinggan mangkuk klasik terbiar lama tanpa terusik di rumah peninggalan orang tuanya itu.

“Setelah berbincang dengan adik-beradik lain, saya membawa peralatan ini untuk dijadikan sebahagian dekorasi seperti ruang tamu di rumah lama zaman dahulu.

“Ia menjadi titik tumpu sesiapa sahaja yang bertandang di kedai ini untuk merakamkan gambar kenangan bersama keluarga dan sahabat tersayang,” katanya.

Noorhayati menjelaskan, budaya golongan muda memuat naik foto dan video di dalam media sosial telah memberi manfaat kepada kedainya.

Jelasnya lagi, usaha tersebut merupakan promosi berharga kepada TCC bagi menarik lebih ramai pelanggan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI