fbpx

Tauke bengkel rugi RM100,000 kereta pelanggan rosak akibat bah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Fitri menyelamatkan rim dan tayar yang tenggelam dalam banjir di kedainya di Kampung Pinang Merah, Paka, Dungun baru-baru ini.

DUNGUN – Dua pengusaha bengkel membaiki kenderaan dan seorang peniaga kedai tayar kerugian lebih RM100,000 selepas premis perniagaan mereka ditenggelami banjir di Kampung Pinang Merah, Paka di sini baru-baru ini.

Pengusaha bengkel kereta, Mohamad Fauzi Mamat, 39, berkata, banjir berkenaan menyebabkan enam kenderaan milik pelanggannya terendam dalam air.

“Paras air naik dengan pantas. Kelam-kabut saya mahu menyelamatkan kenderaan pelanggan, namun hanya sempat alih lima kenderaan ­sahaja.

“Selain enam kenderaan milik pelanggan, banyak peralatan menaiki kenderaan termasuk perkakas enjin yang agak mahal juga gagal diselamatkan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Nasib sama turut menimpa seorang lagi pengusaha bengkel membaiki kenderaan, Mohd. Fitri Redzuan Ismail, 34, yang memberitahu, dia turut me­ngalami kerugian besar dan hanya mampu merenung nasib melihat 10 kenderaan milik pelanggannya ditenggelami banjir lebih satu meter.

“Tambah menyedihkan, empat kenderaan itu sudah siap dibaiki dan menunggu diambil ­pemiliknya sahaja.

“Saya buntu untuk bangkit kembali. Kerugian terlalu besar termasuk melibatkan kos membaik pulih kembali 10 kenderaan pelanggan itu,” luahnya.

Mohd. Fitri Redzuan berkata, kali terakhir premis perniagaan mereka dilanda banjir pada tahun 2014.

Sementara itu, pemilik kedai tayar kenderaan, Ahmad Albab Wahab, 27, berkata, dia turut kerugian lebih RM30,000 akibat musibah berkenaan apabila beberapa buah mesin dan peralatan di premis perniagaannya turut rosak ditenggelami air.

“Pintu hadapan kedai juga ­rosak akibat dihentam arus banjir yang sangat deras,” jelas­nya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI