KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman dua individu selepas dipercayai meminta dan menerima rasuah berbentuk pakej percutian di sebuah resort di Perak, yang bernilai RM8,000.
Permohonan reman terhadap suspek wanita berusia 48 tahun manakala suaminya yang juga suspek berusia 51 tahun itu dibuat di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Majistret Wong Chai Sia membenarkan kedua-dua suspek direman selama empat hari bermula hari ini hingga 9 Januari depan.
Menurut sumber, suspek wanita yang juga pegawai penguat kuasa di sebuah jabatan kerajaan di Kuala Lumpur bersama suaminya yang juga pegawai penguat kuasa di jabatan kerajaan yang sama telah meminta dan menerima suapan untuk dirinya dan keluarga.
“Suspek telah menerima suapan berbentuk penginapan tiga hari dua malam di sebuah resort di Perak yang dianggarkan berjumlah RM8,000.
“Suapan tersebut diberikan seorang lelaki sebagai dorongan untuk menarik balik sekatan pasport miliknya,” katanya.
Ujar beliau, kedua-dua suspek ditahan di ibu pejabat SPRM Kuala Lumpur kira-kira pukul 7 malam semalam ketika hadir memberi keterangan.
Tambahnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – KOSMO! ONLINE