fbpx

Sewa lori tangki untuk seleweng diesel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jegan (kiri) menunjukkan lori tangki yang digunakan bagi aktiviti penyelewengan diesel di Stor Penyimpanan Eksibit KPDN Bukit Minyak, Bukit Mertajam hari ini. - Foto IQBAL HAMDAN

SEBERANG PERAI – Sanggup menyewa lori tangki semata-mata mahu menyeleweng diesel dengan meraih pendapatan antara RM200 hingga RM300 sehari.

Itu modus operandi terbaharu yang berjaya dikesan pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang susulan satu serbuan di sebuah stesen minyak di Jalan Kulim, Bukit Mertajam di sini, kira-kira pukul 4.30 petang semalam.

Pengarahnya, S. Jegan berkata, serbuan itu dilakukan hasil pemantauan dan pemeriksaan harian yang dijalankan sebelum ini.

Terdahulu kata beliau, empat pegawai penguat kuasa KPDN negeri telah menjejaki sebuah lori tangki berwarna putih seberat 6.5 tan tanpa muatan yang mencurigakan sedang mengisi diesel.

Ujarnya, hasil pemeriksaan mendapati, lori itu mempunyai satu unit tangki besi berkapasiti 10,800 liter di bahagian belakang dan satu unit tangki berkapasiti 800 liter di sebelah tepi yang digunakan untuk mengisi diesel dari stesen-stesen minyak.

“Pemeriksaan lanjut kemudian menjumpai kira-kira 1,800 liter diesel di kedua-dua tangki berkenaan.

“Pada masa sama, dua warga tempatan iaitu pemandu dan kelindan lori berusia sekitar 20-an dan 30-an itu turut ditahan. Mereka mengakui menyewa lori tangki itu bagi tujuan penyelewengan (diesel) sejak dua bulan lalu,” katanya kepada pemberita hari ini.

Menurut Jegan, anggaran keseluruhan nilai rampasan dan sitaan dalam serbuan itu termasuk lori tangki, diesel, pam motor, hos, telefon bimbit, walkie-talkie serta sejumlah wang tunai dianggarkan berjumlah RM35,719.

“Ketika ini, siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti jika terdapat anggota sindiket lain yang terlibat dalam kegiatan ini,” katanya yang memaklumkan bahawa kedua-dua tangkapan kini turut direman untuk siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Justeru, Jegan turut mengingatkan mana-mana pihak yang cuba menyalahgunakan barang kawalan bersubsidi seperti diesel akan dikenakan tindakan tegas dan mengalu-alukan sebarang maklumat atau aduan berhubung aktiviti tersebut daripada orang awam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI