fbpx

Rumah dimusnahkan banjir, 5 beranak tumpang tidur rumah jiran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Norul Shahida sayu melihat kemusnahan rumah sewanya akibat dihanyutkan banjir di Kampung La, Hulu Besut baru-baru ini.

BESUT – Biarpun telah hampir dua minggu bah yang menenggelamkan banyak kawasan di seluruh Terengganu berlalu, namun nasib lima beranak di Kampung La, Hulu Besut masih terumbang-ambing tiada arah tuju apabila kediaman mereka musnah diha­nyutkan banjir ­besar.

Lebih menyedihkan apabila lima beranak itu terpaksa keluar dari pusat pemindahan sementara (PPS) selepas pusat tersebut ditutup secara rasmi pada Sabtu lalu.

Norul Shahida Mohamad, 38, berkata, keluarganya tiada lagi tempat berlindung selepas rumah sewa yang mereka diami selama ini musnah dihanyutkan banjir besar pada 18 Disember lalu.

“Mujurlah terdapat penduduk kampung yang bersimpati sudi memberikan rumahnya untuk saya dan suami, Sairin Tuah, 37, serta tiga anak, Ahmad Ikhwan Haziq, 11; Nur Llayana Elisya, 9, dan Ahmad Aakif Haikal, 4, sewa dan me­numpang teduh.

“Ikutkan rumah tersebut juga mengalami kerosakan akibat banjir berkenaan, namun itu sahaja pilihan terbaik yang kami ada setakat ini,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Norul Shahida berkata, dia difahamkan kerajaan negeri ada berjanji untuk membantu mencari dan membayarkan sewaan rumah terhadap mangsa banjir kehilangan rumah seperti ­keluarganya.

Begitu pun dia mendakwa, bantuan itu masih samar-samar dan hanya diketahuinya menerusi laman Facebook rasmi Menteri Besar Terengganu.

“Setakat ini, tiada siapa yang tampil menjelaskan kepada saya dan suami tentang bantuan ber­kenaan, malah prosedur permohonan (bantuan) pun masih tidak diketahui.

“Saya rayu belas ihsan Kerajaan Negeri Terengganu agar mempercepat bantuan rumah sewa itu bagi membolehkan kami memulakan kehidupan semula,” luahnya.

Norul Shahida dalam pada itu memberitahu, bantuan berkenaan juga membolehkan mereka dapat tinggal di rumah baharu yang lebih selesa.

Tambahnya, dia sayu me­ngenangkan nasib keluarganya yang memerlukan pembelaan terutama dua anaknya yang sudah memulakan sesi persekolahan walaupun dalam keadaan serba kekurangan.

Kampung La merupakan antara penempatan paling teruk terjejas akibat banjir besar yang melanda Pantai Timur termasuk Terengganu.

Dalam kejadian pada pukul 2 pagi itu, enam rumah termasuk didiami keluarga Norul Shahida musnah dihanyutkan arus deras banjir bak tsunami kecil.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI