KOTA KINABALU – Laluan utama Jalan Kota Kinabalu – Sandakan atau Jalan Riverside di Kilometer 109.378 Ranau, ditutup serta-merta untuk semua kenderaan malam tadi.
Ia berikutan hujan yang berterusan hingga mengakibatkan kegagalan pembentung dan jalan terputus yang membahayakan laluan.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu, ratusan kenderaan turut terkandas, namun setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Ranau dalam kenyataan berkata, sehubungan itu, pengguna jalan raya boleh menggunakan laluan alternatif termasuk melalui Jalan Sinarut Baru Togudon Baru (hanya untuk kenderaan kecil).
“Mohon patuhi arahan dan papan tanda keselamatan bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingin berlaku.
“Segala kesulitan amat dikesali dan diharap bersabar untuk keselesaan bersama dimasa akan datang,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Ranau, Ridwan Mohd Taib ketika dihubungi berkata, ketika banyak panggilan mengenai kejadian tanah runtuh dan pihaknya kini dalam tindakan. – KOSMO! ONLINE