fbpx

Proton jual 141,432 unit kenderaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Roslan optimis akan prospek pertumbuhan tahun ini, meskipun mengakui sukar untuk meningkatkan jualan.

PETALING JAYA – Jenama automotif nasional, Proton mengakhi­ri tahun 2022 dengan pertumbuhan jualan bagi tahun keempat berturut-turut kepada 141,432 unit di pasaran domestik dan eksport, jumlah tertingginya sejak tahun 2013.

Ia merupakan pertumbuhan sebanyak 23.3 peratus berbanding 2021, ketika syarikat berdepan kesukaran pada awal tahun lalu apabila bekalan alat ganti terjejas akibat banjir, manakala kekurangan bekalan cip global menyebabkan penurunan jualan untuk empat bulan pertama.

Jualan Proton untuk pasaran antarabangsa turut meningkat kepada 5,406 unit, 79.1 peratus lebih tinggi dan membolehkan syarikat mengakhiri tahun ini sebagai pengeksport utama industri automotif tempatan.

Secara keseluruhan, Proton mengekalkan kedudukannya di tangga kedua dengan pegangan pasaran sebanyak 19.6 peratus berdasarkan anggaran jumlah keseluruhan industri (TIV) mele­bihi 720,000 unit untuk tahun 2022, satu rekod tertinggi baharu untuk industri.

Saga mengekalkan kedudukannya sebagai model terlaris Proton dengan 55,878 unit terjual, pertumbuhan 31.1 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Tiga model Proton meng­akhiri tahun 2022 sebagai peneraju dalam segmen masing-masing, antaranya X50 yang menjadi kenderaan utiliti sukan (SUV) terlaris di Malaysia dengan jualan tahunan 40,681 unit, naik 41.4 peratus berbanding 2021.

X70 pula menjadi SUV segmen C terlaris dengan jualan 18,533 unit, pertumbuhan 13.1 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Sementara itu, Exora mengekalkan cengkaman kukuh di pasaran kenderaan pelbagai guna (MPV) segmen C dengan 4,275 unit terjual, naik 5.9 peratus selepas mendapat kemas kini kecil pada Ogos lalu.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah berkata, melihat ke hadapan, pihaknya yakin dapat mencapai lebih banyak pertumbuhan dengan penambahan rangkaian penawaran serta pelancaran model baharu pada tahun ini.

“Walau bagaimanapun, kami menjangkakan TIV akan menyusut daripada jumlah rekod tahun 2022 kerana penghantaran pesanan kenderaan yang dibuat semasa tempoh pengecualian cukai jualan akan dipenuhi pada akhir bulan Mac depan.

“Kadar faedah juga dijangka meningkat lagi pada tahun ini, menjadikannya sukar bagi industri automotif untuk terus mening­katkan angka jualan,” ­katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI