TOKYO – Sebuah syarikat di Jepun menghasilkan sebuah pemadam gergasi berukuran 276 x 141 x 43 millimeter (mm) dengan berat lebih 2.2 kilogram (kg), lapor laman Oddity Central kelmarin.
Syarikat Seed yang diasaskan pada 1915 adalah salah satu yang tertua dalam perniagaan itu.
Barisan produk pemadamnya dianggap yang paling popular, Radar dilancarkan pada 1968. Ia dengan pantas mendapat permintaan tinggi dalam pasaran Jepun.
Kelebihan tekstur licin dan prestasi pemadaman yang sempurna menjadikan pemadam Radar berjaya dikomersialkan, walaupun julat harga premiumnya adalah antara 20 yen (60 sen) hingga 50 yen (RM1.60) ketika harga pemadam biasa sekitar 10 yen (30 sen).
Barisan produk Radar sejak itu menjadi semakin kukuh dengan kemunculan pelbagai bentuk dan saiz.
Pemadam 2.2 kg yang dinamakan Radar S-10000 itu adalah yang terbesar dalam barisan produk Radar, sekali gus berkemungkinan terbesar di dunia.
Ia adalah 200 kali lebih berat berbanding pamadam standard, Radar S-60. Bagaimanapun, kedua-duanya diperbuat daripada bahan yang sama, maka prestasi pemadaman adalah setara.
Menurut sumber jabatan pembangunan produk Seed, pembuatan pemadam gergasi itu bermula dengan idea pemberian hadiah.
Syarikat itu kemudian menghasilkan pemadam yang lebih besar walaupun sudah memiliki dua model pemadam gergasi iaitu S-1000 (130 x 66 x 27 mm) dan S-JUMBO (160 x 75 x 27 mm).
Pemadam Radar S-10000 telah lama wujud, tetapi baru-baru ini kembali tular di Jepun selepas pengguna menyiarkan gambarnya di Twitter. — AGENSI