DUBLIN – Sebuah klip video tular di media sosial memaparkan situasi lamaran sepasang kekasih yang terganggu akibat kehadiran seorang pelancong, lapor akhbar New York Post semalam.
Video yang dimuat naik dalam akaun TikTok @@jordanemcgowan pada Selasa lalu itu kini mendapat lebih 358,000 tontonan.
Jordan McGowan dilihat bersama pasangannya, Sean Munn yang sedang berlutut untuk melamarnya di Reykjavik, Iceland.
“Saksikan wanita ini merosakkan video lamaran saya,” tulis McGowan dalam video tersebut.
Pelancong wanita itu tidak mengendahkan detik romantik pasangan itu dan terus berjalan berhampiran mereka untuk merakam pemandangan air terjun.
“Sejujurnya saya rasa ia lucu. Tiada benda buruk terjadi dan kelakar apabila ditonton,” katanya.
Video itu mendapat perhatian netizen di ruangan komen.
“Wanita itu tidak berhenti untuk merakam gambar,” komen seorang netizen.
“Dia tahu dengan tepat apa yang berlaku dan dia melakukannya dengan sengaja,” komen netizen lain. – Agensi