fbpx

Pakistan umum langkah jimat elektrik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Orang ramai membeli-belah di sebuah pasar menjelang perayaan Aidilfitri di Lahore pada 30 April 2022. - AFP

ISLAMABAD – Kerajaan Pakistan bercadang untuk menutup pasar-pasar dan dewan perkahwinan, masing-masing pada pukul 8.30 dan 10 malam bagi mengawal kadar hutang negara yang semakin meningkat, lapor laman berita WION kelmarin.

Rancangan itu dibuat ketika negara berkenaan dilanda krisis ekonomi yang teruk termasuk mengalami masalah kritikal dari segi kos penggunaan tenaga elektrik. 

“Pelan itu akan mengubah keseluruhan gaya hidup dan kebiasaan rakyat seterusnya menjimatkan AS$26 juta (RM114 juta),” kata Menteri Pertahanan, Khawaja Asif seperti dipetik laman berita Dawn.

Perubahan radikal diumumkan Khawaja itu juga adalah termasuk rancangan untuk menghentikan pengeluaran kipas yang menggunakan tenaga elektrik menjelang Julai depan.

“Kipas yang tidak cekap tenaga menggunakan sekitar 120 hingga 130 watt elektrik sedangkan di seluruh dunia, kebanyakan kipas menggunakan (kuasa) 60 hingga 80 watt (elektrik),” katanya.

Pengeluaran mentol pijar pula akan dihentikan mulai bulan depan manakala kerajaan akan mewajibkan penggunaan ‘conical geyser’ iaitu alat penjimatan gas dan menggunakan alternatif lampu jalan untuk mengurangkan kos.

Tambah Khawaja, negara sedang melalui situasi ‘kritikal’ dan ia tidak mampu untuk mengekalkan tahap penggunaan tenaga kuasa semasa dan beliau turut mengumumkan rancangan melaksanakan dasar kerja dari rumah.

“Semua bangunan dan pejabat kerajaan juga akan mengurangkan penggunaan tenaga di bawah pelan itu dan dasar untuk bekerja dari rumah akan disiapkan dalam masa 10 hari.

“Tiada lampu menyala dalam mesyuarat Kabinet hari ini (Selasa). Mesyuarat itu telah diadakan di bawah cahaya matahari,” jelas Khawaja.

Menurut beberapa laporan yang memetik bahagian tenaga Pakistan, hutang kitaran negara itu adalah berjumlah AS$10.5 bilion (RM46.26 bilion) iaitu peningkatan sebanyak AS$815 juta (RM3.5 bilion) daripada September tahun lalu. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI