SHAH ALAM – Tindakan lima sahabat merempit di Lebuh Raya Shah Alam (Kesas) tahun lalu menerima balasan apabila dipenjara sehari dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret, hari ini.
Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman memutuskan demikian selepas semua tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan dibacakan secara berasingan.
Tertuduh iaitu Muhammad Danial Hakim M. Satar, 24; Wan Mohamad Faizal Wan Rosli, 25; Mohamad Arizal Jaamad, 28; Wan Shahadil Wan Muhamad, 26; dan Pitri Alias, 27.
Kesemua mereka yang bekerja sebagai operator kilang dan pekerja bengkel itu turut diperintahkan menjalani tambahan penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda itu. Mereka membayarnya.
Berdasarkan pertuduhan, kelima-kelima mereka yang menetap di taman perumahan sama di Hulu Selangor didakwa menunggang motosikal masing-masing yang mungkin membahayakan orang awam di Kilometer 27.5 Kesas di sini, kira-kira pukul 1.50 pagi, 7 Mei tahun lalu.
Justeru, mereka didakwa mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan denda maksimum RM15,000.
Timbalan Pendakwa Raya Kamarul Iman Ahmad Sapian memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kerana perbuatan mereka bukan membahayakan diri malah nyawa pengguna jalan raya lain.
Peguam Shalehhuddin Salam mewakili kesemua tertuduh memohon pengurangan susulan faktor usia selain mempunyai tanggungan keluarga serta adalah kesalahan pertama mereka. – KOSMO! ONLINE