PENAMPANG – Seorang lelaki maut selepas digilis lori 10 tan dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Kota Kinabalu-Penampang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.53 pagi itu, kemalangan membabitkan lelaki warga asing berusia 21 tahun berkenaan turut sempat dirakam televisyen litar tertutup (CCTV) sebelum tular di laman sosial dan aplikasi WhatsApp.
Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superitendan Mohd. Haris Ibrahim berkata, kemalangan melibatkan sebuah motosikal, pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton dan lori 10 tan.
“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada mangsa yang terjatuh selepas terlanggar belakang sebuah pacuan empat roda yang berada dihadapannya.
“Ekoran perlanggaran itu, mangsa kemudiannya terjatuh di lorong bersebelahan.
“Sebuah lori yang berada di lorong kiri dipercayai tidak sempat mengelak dan terus merempuh mangsa,” katanya dalam kenyataan media.
Mohd. Haris berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang hadir membantu di lokasi.
Menurutnya, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk tindakan selanjutnya.
Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – KOSMO! ONLINE