PETALING JAYA – Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming telah mengeluarkan arahan kepada jabatan yang bertanggungjawab bagi melaksanakan pemantauan kebersihan di tempat tumpuan pelancong di sekitar ibu kota.
Kor Ming melalui satu hantaran di Facebooknya petang tadi berkata, arahan itu diberikan supaya tindakan segera perlu diambil oleh syarikat konsesi Alam Flora dengan melakukan pemantauan sepanjang masa di kawasan-kawasan tumpuan seperti Jalan Ampang-KLCC, Bukit Bintang Walk, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Medan Pasar, Dataran Merdeka dan lain-lain.
“Setelah selesai tugas saya di pejabat, saya telah membuat lawatan di sekitar ibu kota pada waktu malam khususnya kawasan strategik yang menjadi tumpuan pelancong dan penting untuk kita bangunkan industri perlancongan.
“Semasa lawatan saya ke Petaling Street, saya mendapati urusan kebersihan dan kutipan sampah di kawasan destinasi perlancongan ini kurang memuaskan,” katanya.
Katanya,semua pihak harus diingati bahawa kebersihan awam dan suasana yg kondusif adalah amat penting untuk pembangunan industri perlancongan negara kita secara khusus dan kesejahteraan rakyat secara umum.
“Selain agensi kerajaan dan syarikat swasta, saya juga berharap ibu bapa dapat mendidik anak-anak supaya mencintai alam sekitar dan tidak ada lagi yang membuang sampah di merata tempat.
“Saya percaya syarikat Alam Flora akan mengambil tindakan segera untuk meningkatkan khidmat pengurusan sampah selepas lawatan saya semalam, SW Corp di bawah KPKT akan sentiasa menjalankan kerja-kerja pemantauan demi imej negara dan keselesaan rakyat,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE