SEOUL – Pihak berkuasa Korea Selatan sedang mengesan seorang warga China yang melarikan diri dari sebuah pusat kuarantin selepas disahkan positif Covid-19 sejurus tiba di lapangan terbang, lapor laman berita Wion News semalam.
Seorang pegawai kesihatan, Kim Joo-young berkata, penumpang China itu disahkan positif selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon kelmarin.
Menurut Joo-young, individu terbabit masih belum dikenal pasti dan telah disenaraikan dalam ‘senarai orang dikehendaki’.
Tambahnya, individu berkenaan berdepan hukuman penjara setahun atau denda 10 juta won (RM34,623) kerana melanggar Akta Kawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit.
Sebilangan negara telah melaksanakan sekatan perjalanan ke atas pelancong China di tengah-tengah lonjakan kes Covid-19 di negara itu.
Korea Selatan adalah antara negara yang melaksanakan sekatan tersebut dengan mengumumkan pelaksanaan ujian saringan Covid-19 kepada pengembara China yang tiba di negara itu.
Bermula semalam, penumpang dari China boleh menghantar keputusan ujian tindak balas rantaian polimerase (PCR) yang dijalani tidak lebih 48 jam sebelum perlepasan atau keputusan negatif ujian tidak lebih dari 24 jam sebelum perlepasan.
Sejak 2 Januari lalu, seramai 2,189 penumpang dari China tiba di Korea Selatan. Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KDCA) berkata, daripada 590 ujian saringan yang dijalankan, 136 orang disahkan positif Covid-19.
Pada Selasa sahaja, seramai 281 orang positif virus tersebut. – Agensi