APA juga bahan mentah yang ada, seseorang tukang masak hebat pasti akan mampu menghadirkan hidangan lazat.
Itu mungkin rumusan paling tepat untuk menggambarkan impak segera yang dihadirkan Kim Pan-gon kepada Harimau Malaya selepas memacu kejayaan pasukan mara ke separuh akhir Piala Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF).
Walaupun belum genap setahun sejak dilantik, jurulatih dari Korea Selatan itu sudah membuktikan keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) melantiknya adalah tepat termasuk ketika mengetuai pasukan layak ke Piala Asia secara merit.
Begitu juga ketika kempen Piala AFF kali ini, ketika ramai yang ragu dengan set pemain dimilikinya ketika ini, Pan Gon sentiasa hadir dengan magisnya tersendiri, membelasah Singapura 4-1 pada detik hidup mati di Stadium Nasional Bukit Jalil kelmarin, sekali gus mengesahkan slot ke separuh akhir.
“Saya fikir ini menjadi salah satu daripada permainan terbaik dan kita dapat lihat kemahuan pemain untuk berikan jiwa mereka ketika berada atas padang. Apa yang dipersembahkan pemain begitu mengujakan saya.
“Kita sudah nantikan detik ini kerana mereka sudah tunjukkan usaha sepanjang lima minggu, terpaksa berjauhan dengan keluarga dan memenuhi tuntutan saya juga mungkin sesuatu yang sukar. Mereka begitu dahagakan kejayaan dan mereka mahu menerokai sesuatu.
“Saya fikir kita patut meraikannya kerana ada banyak tekanan pemain terpaksa hadapi termasuk daripada peminat. Saya tidak mahu mengeluh tetapi beri kebebasan dan tidak perlu bercakap tentang perkara negatif,” katanya pada sidang akhbar selepas tamat perlawanan kelmarin.
Pada perlawanan yang disaksikan 65,147 penonton di stadium keramat negara kelmarin, Stuart Wilkin muncul wira Harimau Malaya dengan menyumbat dua gol diikuti satu gol daripada Darren Lok dan Sergio Aguero, manakala jaringan saguhati Singapura dihasilkan Faris Ramli.
Kejayaan mara ke separuh akhir kali ini seakan menjadi garis sempadan kepada keraguan banyak pihak terhadap skuad kali ini memandangkan ramai yang turut melabel pasukan pada Piala AFF adalah ‘Malaysia B’ terutamanya selepas Pan Gon tidak dapat memanggil pemain terbaiknya seperti kelayakan Piala Asia pertengahan tahun lalu.
Harimau Malaya dijadualkan bertemu juara bertahan, Thailand pada separuh akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini sebelum berkunjung ke Stadium Thammasat, Selasa depan.
“Esok kami kena mulakan balik kerja dan saya akan terus beri galakan kepada pemain untuk jadi lebih baik. Saya mahu mereka menjadi pemain yang bagus, terkenal,” katanya.