BEBERAPA hari sebelum 2022 menutup tirai, penulis sempat menghabiskan masa menonton edisi terbaharu Puss in Boots: The Last Wish.
Selepas lebih 11 tahun, sutradara Joel Crawford kembali menghidupkan jenama Puss in Boots dengan peluncuran filem terbabit yang merupakan spin-off daripada jenama filem Shrek tersebut.
Seperti tiga sekuel terdahulu, Puss in Boots (1961), Puss in Boots (2011) dan Puss in Boots: The Three Diablos, naskhah kali ini langsung tidak mengecewakan.
Tunjang ceritanya mudah. Puss in Boots diberitahu doktor bahawa dirinya kini hanya memiliki satu nyawa selepas lapan kali mati dalam episod hidup sebelum ini.
Untuk terus hidup ‘lama’ dan dikabulkan doa, Puss perlu mengembara dan bertemu dengan Wishing Star agar bilangan nyawanya bertambah.
Dalam pengembaraan, dia bertemu dengan Kitty Softpaws yang turut mengejar Wishing Star.
Menghiburkan
Selain itu, dia juga bertemu dengan anjing terapi bernama Perrito yang mengubah pandangannya tentang kehidupan, termasuk bersaing dengan ‘villain’ Goldilocks serta ‘Big’ Jack Horner.
Secara peribadi, Puss in Boots: The Last Wish merupakan sebuah animasi yang sangat menghiburkan. Kalau duduk di bangku audiens dan tidak terhibur, barangkali seseorang itu tiada jiwa dan perlu segera bertemu pakar terapi.
Mungkin juga tidak keterlaluan untuk menyifatkan bahawa filem kali lebih baik daripada yang sebelumnya, terutama dari sudut animasi, adegan aksi dan jalan cerita.
Berdurasi 102 minit, penulis sendiri tidak menyangka menghabiskan sebuah filem animasi tanpa perlu ‘ditekan’ keinginan ke tandas mahupun dibelenggu permasalahan lain.
Tempoh 102 minit dihabiskan pantas tanpa disedari dan itu bermakna bahawa bahan tontonan itu benar-benar berkualiti dan naratifnya diadun kemas oleh pengarah serta pasukan belakang tabir.
Markah cemerlang
Dari segi lelucon atau komedi juga sangat-sangat memuaskan hati. Tiada babak lompong yang dibazirkan dan itu suatu kualiti atau elemen yang perlu dihadirkan pembikin filem, terutama buat karya bernuansakan animasi pengembaraan.
Babak anjing bernama Perrito ‘membesarkan’ mata meniru aksi Puss dan Kitty Softpaws, itu antara ‘highlight’ yang membuatkan filem kali ini sangat istimewa dalam kalangan peminat jenama Puss in Boots.
Dari segi tema dan lakonan suara juga tidak kurang hebatnya. Kalau tidak masakan filem ini menerima pencalonan dalam acara berprestij seperti 80th Golden Globe Awards dan 28th Critics’ Choice Awards bagi kategori Filem Animasi Terbaik.
Antonio Banderas sebagai Puss in Boots masih menjalankan peranan cemerlang dan energi sama juga dicernakan Salma Hayek sebagai Kitty Softpaws.
Harvey Guillén sebagai Perrito juga mencuri tumpuan dan menjadi jambatan ‘kasmaran’ antara Puss dan Softpaws.
Lakonan suara ‘kesayangan Oscars’, Olivia Colman Mama Bear juga tidak mengecewakan dan memberi nilai tambah istimewa buat sekuel kali ini.
Secara keseluruhannya, Puss in Boots: The Last Wish terus membuatkan adrenalin peminat terus ‘bernyawa’.
Sebuah filem animasi yang sangat-sangat menghiburkan.
Jika Mechamato Movie diberi markah cemerlang oleh penulis, filem ini juga terkandung kualiti sama yang wajar diberikan markah A+.