fbpx

Kerajaan bakal wujud jabatan baharu tangani kes dera kanak-kanak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nancy mengadakan sidang akhbar sebelum melawat sebuah rumah perlindungan kanak-kanak di Johor Bahru, hari ini. - Foto KHAIRUL MOHD. ALI

JOHOR BAHRU – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan mewujudkan jabatan khas bagi menangani kesejahteraan kanak-kanak termasuk melibatkan isu penderaan dan pengabaian yang semakin meningkat sejak kebelakangan ini.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, penubuhan jabatan berkenaan telah dipersetujui secara prinsipal oleh Kabinet, termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut beliau, pihaknya juga akan menjalin kerjasama dengan beberapa kementerian bagi memastikan inisiatif itu dapat dilaksana sebaik mungkin.

“Saya tidak menidakkan kemungkinan terdapat kelemahan berhubung soal ini, mungkin jumlah tenaga kerja kurang atau ketiadaan kepakaran tertentu, jadi saya tidak menafikan.

“Misalnya pegawai yg mempunyai kemahiran dalam bidang psikologi, dan sekarang ini saya dapati pegawai JKM majoritinya berkelayakan peringkat diploma, bukan bermaksud mereka tidak pandai, tetapi beban mereka besar, jadi tidak adil bagi mereka.

“Kita akan perbaiki kelemahan yang ada. Antara langkah itu adalah dengan mewujudkan sama ada satu unit, atau jabatan atau institusi baharu. Saya telah bentang perkara ini kepada Kabinet agar kementerian distruktur semula,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebelum melakukan lawatan kerja ke sebuah rumah perlindungan kanak-kanak, di sini hari ini. Turut hadir, Pegawai JKM Daerah Johor Bahru, Adnan Md. Yassin.

Tambah Nancy, pihaknya juga akan membuat permohonan agar kementeriannya diberi peruntukan lebih tinggi tahun depan bagi membolehkan mereka menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan lebih berkesan.

Sementara itu, beliau turut menegaskan bahawa undang-undang berhubung kesejahteraan kanak-kanak yang terdapat dalam Akta Kanak-Kanak 2001 sedia ada mencukupi dan mematuhi piawaian antarabangsa.

“Baru-baru ini Akta Kanak-Kanak telah dipinda pada 2021, dan menurut laporan UNICEF (Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu), undang-undang kita mematuhi konvensyen hak kanak-kanak antarabangsa.

“Namun ia tidak terhenti di situ, sebaliknya ia adalah satu proses yang akan terus berjalan dan tidak hanya terhenti di situ,” katanya lanjut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI