fbpx

Ibu tunggal mengaku salah pindah wang RM21,000 milik rakan ke akaun sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Norizah (kiri) dibawa ke lokap polis selepas prosiding pertuduhan terhadapnya di Mahkamah Majistret Kota Bharu selesai hari ini. FOTO ROSALWANI CHE SOH.

KOTA BHARU – Seorang pembantu pusat jagaan warga emas didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan memindahkan wang sebanyak RM21,000 milik rakan ke akaun banknya, lebih setahun lalu.

Tertuduh, Norizah Yusoff, 41, yang juga merupakan ibu tunggal mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Mohd. Izdham Naim Che Ani.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa secara tidak jujur memindahkan sesuatu harta yang tiada hak ke atasnya iaitu wang sebanyak RM21,000 milik Wan Zawawi Daud, 49, daripada akaun sebuah bank.

Kesalahan itu dilakukan olehnya di Kampung Dusun Raja, di sini, pada 15 Disember 2021.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Edabayu Subhan manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Siti Nur Suhada Zaidi.

Terdahulu, Siti Edabayu menawarkan jaminan sebanyak RM7,000 atas pertuduhan yang dihadapi tertuduh.

Siti Nur Suhada dalam rayuannya memohon jaminan minimum diberikan kepada anak guamnya yang bekerja sebagai pembantu pusat jagaan warga emas dengan gaji RM1,600 sebulan.

“Tertuduh juga merupakan ibu tunggal yang menjaga lima orang anak. Saya percaya Norizah akan memberi kerjasama yang baik kepada mahkamah,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 7 Februari depan untuk untuk serahan fakta kes dan jatuh hukum.

Tertuduh tidak membayar jaminan yang ditetapkan mahkamah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI