PETALING JAYA – Hospital Kuala Lumpur (HKL) telah menamatkan perkhidmatan kontrak seorang doktor yang menghina dan mengeluarkan kata-kata kesat kepada anak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu Nooryana Najwa, pada November lalu.
Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Pengarah (Pengurusan) HKL, Azizul Kamaredzuan Azizul Akimi menerusi surat maklum balas kepada pelaporan aduan melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA), Kementerian Kesihatan (KKM).
“Pihak kami telah menamatkan perkhidmatan kontrak pegawai berkenaan sebagai Pegawai Perubatan Gred U41 yang berkuat kuasa mulai 11 November 2022.
“Ia ekoran kesalahan membuat pernyataan awam yang boleh memalukan atau memburukkan nama Kerajaan (Peraturan 19 (1)- Peraturan-peraturan Pegawai (Kelakukan dan Tatatertib) (1993),” katanya.
Tambahnya, tindakan susulan itu diambil setelah pegawai berkenaan membuat kenyataan di media sosial yang berbaur hinaan berkaitan dengan bekas Perdana Menteri itu.
Terdahulu, ciapan yang dimuat naik pegawai berkenaan, di akaun Twitternya mencuri perhatian warganet apabila dia bertindak menuduh Nooryana Najwa menipu berhubung rekod kesihatan bapanya dan turut meninggalkan kata-kata kesat.
Sebelum itu, difahamkan Nooryana Najwa mendakwa masalah ulser dihadapi bapanya kembali menyerang dan tekanan darah juga semakin tinggi akibat pengambilan ubat yang dibekalkan doktor. – KOSMO! ONLINE