KUALA LUMPUR – Gurauan mengajak kahwin merupakan kenangan terakhir yang masih segar dalam ingatan seorang peniaga makanan terhadap Nurul Azwani Kamarulzaman yang terkorban dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Batang Kali-Genting Highlands bulan lalu.
Ishak Jussoh, 56, berkata, ingatan terhadap arwah masih kuat terutama apabila mengenangkan gelagat dan keperibadian Nurul Azwani, 31, yang baik dan peramah ketika bekerja sebagai pembantu kantin di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mun Choong di sini.
Katanya, dia masih ingat kenangan itu ketika dia berseloroh dengan Allahyarham untuk mengajaknya berkahwin dua minggu sebelum kejadian.
“Saya selalu bergurau dengannya dan salah satu mengajak dia berkahwin kerana dia masih bujang. Tak sangka pula ia merupakan gurauan terakhir kami,” katanya ketika ditemui di Pasar Pagi Kampung Batu di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 2.42 pagi pada 16 Disember lalu, Nurul Azwani maut bersama 30 mangsa lain selepas tertimbus ketika sedang berkhemah di kawasan tersebut.
Menurut Ishak, sepanjang mengenali Nurul Azwani dan keluarganya. dia seorang yang sangat baik, ramah dan pandai bergurau.
“Selalunya dia akan datang makan ke kedai saya tiga kali seminggu antara pukul 9 atau 10 pagi sebab dia jenis cerewet bab makan,” katanya.
Ujar Ishak, dia terlalu terkejut apabila menerima berita mengenai apa yang menimpa Allahyarham pada hari kejadian sekitar pukul 4 petang.
“Saya sangat terkejut bila baca berita, keluar muka Nurul Azwani sebagai mangsa yang terkorban dalam kejadian tanah runtuh.
“Saya ingat lagi, dua minggu sebelum kejadian, saya sempat bergurau dengan dia untuk ajak kahwin memandangkan dia masih bujang, tak sangka itu gurauan akhir kami,” luahnya.
Menurut Ishak, ibu Allahyarhamah, Siti Esah Hassan, 53, sering menghantar kuih donat dan laksam di gerainya setiap hari untuk dijual.
“Ketika ini, saya minta ibu Nurul Azwani untuk berehat dan bertenang. Tak perlu buat kuih sementara waktu bagi menyelesaikan apa yang perlu,” katanya.
Sementara itu, seorang penjaga dikenali sebagai Alice, 40, berkata, dia turut terkejut apabila di menerima berita itu menerusi kumpulan WhatsApp sekolah.
“Enam cikgu yang maut itu pernah mengajar anak saya di sekolah ini,” ujarnya.