PETALING JAYA – Operasi perkhidmatan transit aliran ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya sedang mengalami kelewatan disebabkan gangguan suis yang menyebabkan semua tren bergerak perlahan dan berhenti lebih lama di platform.
Rapid KL dalam satu kenyataan berkata, kejadian pertama yang berlaku pada pukul 4.24 petang menyebabkan tren terpaksa dipandu secara manual di antara Stesen KL Sentral dan Pasar Seni.
“Pasukan teknikal telah berada di lokasi dan kerja – kerja baik pulih telah selesai pada pukul 5.20 petang.
“Gangguan kedua telah berulang di antara Stesen Damai dan Dato’ Keramat pada pukul 5.26 petang. Buat masa ini, kakitangan teknikal sedang giat menjalankan kerja-kerja baik pulih dan akan memastikan operasi kembali normal pada kadar segera,” katanya di sini, hari ini.
Katanya, bagi mengurangkan kesesakan di stesen, perkhidmatan bas perantara percuma disediakan di antara Stesen KLCC, Ampang Park, Damai, Dato’ Keramat, Jelatek dan Setiawangsa.
“Pengguna dinasihatkan supaya merancang perjalanan masing-masing serta layari media sosial Rapid KL untuk mendapatkan maklumat terkini berkenaan status perkhidmatan terkini,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE