GUA MUSANG – Lebih 500 penduduk Orang Asli di Kampung Brooke Lama, Pos Brooke di sini hidup dalam ketakutan selepas kawasan penempatan mereka diceroboh seekor gajah liar jantan sejak Sabtu lalu.
Penduduk mendakwa, kejadian itu menyebabkan mereka berdepan kerugian hampir RM20,000 apabila tanaman seperti ubi kayu, pisang, tebu dan petai yang diusahakan dimusnahkan gajah liar berkenaan.
Penghulu Kampung Brooke Lama, Rian Bujang, 48, berkata, kehadiran seekor gajah itu mula dikesan memasuki kawasan penempatan penduduk kira-kira pukul 9 malam Sabtu lalu.
Menurutnya, penduduk terkejut selepas mendapati tanaman termasuk pagar dimusnahkan haiwan liar itu keesokan harinya.
“Pada awalnya, kami sangka kejadian itu berlaku satu malam sahaja. Sebaliknya, gajah itu datang tiga hari berturut-turut dan masuk ke kawasan kebun.
“Haiwan liar itu masih berada berhampiran kampung ini sehingga menimbulkan ketakutan kepada penduduk untuk ke kebun,” katanya di sini semalam.
Seorang penduduk, Muslan Alang, 68, memberitahu, dia melihat kelibat gajah berkenaan semasa keluar menoreh getah, sebelum berpatah balik ke rumah, ekoran bimbang haiwan itu bertindak di luar kawalan.
Katanya, kejadian ancaman gajah liar kali pertama berlaku sejak 40 tahun dia mengusahakan tanaman di kawasan itu.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan, Mohd. Hafid Rohani mengesahkan pihaknya menerima aduan penduduk dan akan melakukan pemeriksaan ke kawasan terbabit.