BANGKOK – Seorang lelaki yang cedera dalam kemalangan motosikal terselamat meskipun selepas enam hari terbaring di tepi sebatang jalan tanpa sebarang pertolongan, lapor laman berita Thaiger semalam.
Dalam kejadian itu di Udon Thani, rantau Isaan, Withawat Nanthapetch pada awalnya dilaporkan hilang pada 29 Disember tahun lalu selepas pergi ke sebuah bar bersama rakan-rakannya.
Rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) bar tersebut menunjukkan lelaki berusia 22 tahun itu berjalan keluar dari premis berkenaan sekitar pukul 1.44 pagi (waktu tempatan) sebelum dilaporkan hilang.
Ahli keluarga Withawat kemudian mencari lelaki itu selama empat hari, namun gagal mengesannya. Rakan-rakan mangsa turut memuat naik hantaran di media sosial meminta orang ramai memberikan maklumat sekiranya mereka pernah melihat lelaki itu.
Kehilangan misteri Withawat membuatkan ahli keluarga dan rakan-rakannya percaya dia telah meninggal dunia, namun mereka terus mencari lelaki berkenaan untuk membawa pulang ‘mayatnya’ ke rumah.
Bagaimanapun, nasib menyebelahi Withawat apabila bapa saudaranya, Wanna Kamrin menemui motosikal milik lelaki itu di tepi Jalan Udon-Nong Bua Lamphu dekat Lapangan Terbang Udon Thani.
Wanna yang pada asalnya menyangkakan anak saudaranya itu telah meninggal dunia, terkejut apabila menemui Withawat dalam keadaan masih bernyawa dan tersembunyi di sebalik rumput panjang di tepi jalan.
Selepas polis dan pasukan penyelamat tiba di lokasi kejadian, mereka mengesahkan Withawat masih hidup meskipun dia mengalami luka dan kesan gigitan serangga di seluruh badannya. Dia kemudian dibawa ke hospital untuk menerima rawatan.
Ibu Withawat meluahkan rasa gembira selepas bertemu semula dengan anaknya dan memberitahu bahawa penemuan anaknya itu merupakan hadiah terbaik sempena Tahun Baharu. – Agensi